News & Events

NEWS | 2nd August 2018

Sultan Mizan rasmi hospital pakar KTS

KUALA TERENGGANU - Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) disaran menjadi jambatan menghubungkan rakyat dan komuniti bagi membentuk tahap kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, dengan wujudnya hospital pakar seperti KTS, rakyat mempunyai pilihan untuk penjagaan kesihatan pakar yang lebih cekap dan berkualiti tinggi

“Beta dimaklumkan TDM Berhad melalui Kumpulan Medic Iman menawarkan penjagaan kesihatan pada kos berpatutan, ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan di hospital swasta di bawah TDM Berhad,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan KTS yang mula beroperasi di bangunan baharu di Jalan Sultan Mahmud dan melancarkan logo Kumpulan Medic Iman (KMI), di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Ketibaan baginda sekeluarga disambut Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi TDM Berhad, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda.

Selain KTS, TDM Berhad memiliki tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre (KMC) di Pahang, Kelana Jaya Medical Centre (JKMC) dan Taman Desa Medical Centre (TDMC) di Lembah Kelang.

Sultan Mizan bertitah, hospital yang dimiliki oleh KMI dan TDM Berhad ini membuktikan pengaruh dan peranan besar mereka dalam bidang penjagaan kesihatan di Malaysia.

Titah baginda, dengan rekabentuk bangunan mengikut standart piawaian antarabangsa, KTS berupaya menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan di negara ini.

“Bidang kesihatan masa kini perlu selari dengan arus pemodenan dan dilihat semakin penting terutamanya dengan peningkatan kesedaran mengenai gaya hidup sihat.

“Beta yakin Kumpulan Medic Iman di bawah TDM Berhad mampu menyediakan segala kemudahan penjagaan kesihatan bermutu yang diperlukan rakyat,” titah baginda.

~SINAR HARIAN

What's New

Past